Sunday 3 April 2011

LAPORAN PROJEK BERASASKAN SEKOLAH

1.0  PENGENALAN

     Sejarah awal konsep geometri Yunani menurut Smith (1958), bermula dengan pemerhatian dan perbandingan terhadap aspek fizikal sesuatu bahan atau alat dari segi bentuk serta saiz. Lanjutan dari itu apabila  keperluan untuk mengukur tanah mula mendesak, maka lahirlah idea untuk melukis rajah-rajah geometri yang mudah seperti segiempat tepat, segiempat sama dan segitiga yang melibatkan konsep-konsep asas geometri lain seperti garis tegak, garis selari dan garis serenjang. Konsep-konsep ini lahir berdasarkan pemerhatian masyarakat ketika itu kepada pembinaan tembok dan rumah kediaman (Craig, 1928).

     Jika lihat disekeliling kita, terdapat berbagai objek yang berbentuk geometri. Murid-murid  sentiasa menggunakan objek tersebut tanpa menyedari bahawa objek tersebut adalah terdiri daripada berbagai bentuk geometri yang mempunyai nama dan ciri-ciri yang tertentu.  Untuk memastikan murid dapat memahami ciri-ciri tersebut dengan berkesan satu aktiviti yang membolehkan murid  memahami sesuatu konsep tentang sesuatu bentuk adalah perlu. Justeru itu, kajian ini dijalankan bagi melihat bagaimana murid menggunakan pemikiran mereka bagi memahami konsep perimeter sesuatu objek yang berbentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga dengan menggunakan tangram sebagai bahan bantu mengajar iaitu mencari perimeter yang maksimum dan minimum berdasarkan bentuk tangram yang telah direka.

     Memang tidak dinafikan lagi bahawa pengetahuan matematik amat berguna dalam kehidupan seharian. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik dan pelajar sendiri untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah berjaya. Namun begitu pada masa kini, kita dapati masih ramai murid yang tidak seronok atau berminat untuk mempelajari mata pelajaran matematik walaupun pelbagai bahan bantu mengajar telah digunakan dengan sepenuhnya oleh guru.

     Dalam era teknologi masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis dan papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar.

     Oleh yang demikian, melalui teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari guru sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan tanpa melalui bahan bantu mengajar. Dalam matapelajaran matematik, bahan bantu mengajar memainkan peranan penting ke arah memahamkan konsep di dalam proses pengajaran selain daripada bertujuan untuk menarik minat pelajar.

      Adalah menjadi matlamat dan kehendak Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk membentuk dan melahirkan murid yang aktif, kreatif, inisiatif, inovatif dan berilmu pengetahuan. Oleh itu selain penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, aktiviti-aktiviti yang boleh menambahkan kemahiran pelajar adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan kepentingannya. Penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran adalah satu alternatif dalam usaha menjayakan agenda tersebut. Di dalam kajian ini pengkaji telah menggunakan tangram sebagai bahan bantu mengajar untuk mencari perimeter.

1.2 PERNYATAAN MASALAH

     Matematik penting dan berguna untuk kehidupan seharian dan kerjaya pada masa depan pelajar. Hampir semua pelajar menganggap matematik adalah suatu subjek yang sukar dan abstrak. Para guru juga merasakan pengajaran matematik sebagi suatu cabaran besar. Mengapakah keadaan begini berlaku?

     Adakah isi kandungan matematik memang sukar dan abstrak sehingga dianggap hanya sesuai untuk segolongan pelajar yang berkebolehan tinggi sahaja? Atau adakah cara penyampaian dan pengajaran guru yang menyebabkan konsep perimeter  sukar difahami oleh  kebanyakan pelajar? Walaupun terdapat beberapa konsep matematik yang abstrak, namun begitu kebanyakkan konsep dan kemahiran yang diajar adalah asas dan diperlukan dalam kehidupan harian kita. Oleh itu, pembelajaran matematik sepatutnya dijadikan sebagai satu pengalaman yang seronok dan mencabar kepada semua pelajar.
      Di antara sebab mengapa tanggapan negatif terhadap matematik ini terjadi, mungkin disebabkan faktor pelajar kurang minat. Para guru sentiasa berusaha mencari rangsangan yang dapat menimbulkan perasaan atau kepuasan yang menyenangkan dalam diri pelajar. Bagi tujuan ini, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran, serta latihan yang berperingkat-peringkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman dan minat pelajar perlu diambil kira. Ini supaya minat pelajar dapat dikekalkan selama yang diperlukan baginya untuk menguasai konsep dan isi pelajaran tertentu. Antara perkara penting yang perlu diperhatikan ialah sejauh manakah alat berkenaan dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar-pelajar. Keberkesanan bahan bantu mengajar bukan sahaja ditentukan oleh kualitinya tetapi juga oleh teknik penggunaannya dalam situasi bilik darjah (Rashidi Azizan et.al, 1996, m.s 145).

  1.3 SIGNIFIKAN KAJIAN

     Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)  menekankan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajaran. Dalam konteks pelajaran matematik KBSR khasnya, penggunaan bahan bantu mengajar memainkan peranan penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru merancang aktiviti yang menggunakan bahan bantu mengajar untuk menyampaikan konsep matematik dengan lebih berkesan. Hasil daripada kajian ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada guru-guru matematik khususnya dan pihak-pihak lain agar memberikan perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kepentingan bahan bantu mengajar dalam pengajaran matematik.

      Menurut Omar Hamalik (1982,m.s.79 ) menjelaskan bahawa kemajuan teknologi moden sekaligus mengajak kita mengubah sikap dan menyedari akan pentingnya bahan bantu mengajar sebagai memenuhi tuntutan kurikulum dan peningkatan kemampuan pelajar.

1.4 BATASAN KAJIAN

      Kajian ini hanyalah difokaskan kepada mata pelajaran Matematik Tahun Lima sahaja. Respondennya terdiri dari pelajar-pelajar Tahun Lima, 2011 yang sedang belajar di SJK(T) Ladang Ulu Bernam 2, Teluk Intan . Sekolah ini adalah merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak kira-kira 65 km dari bandar Teluk Intan. Pelajarnya adalah terdiri dari anak-anak penduduk tempatan yang terdiri dari bangsa India. .


2.0  TINJAUAN LITERATUR

      Minat boleh menentukan kecemerlangan atau kemunduran seseorang pelajar di dalam matematik (“Minat tentukan", 2002, m.s. 1). Akibat tidak berminat terhadap matematik, sudah tentulah murid tersebut tidak akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Mereka juga tidak akan menyiapkan kerja atau latihan yang diberi oleh guru untuk disiapkan sama ada di dalam kelas mahu pun di rumah dan sebagainya.

      Secara amnya, pelajar merasakan bahawa pengajaran guru lebih menarik dan murid akan memahami  konsep matematik jika guru itu menggunakan bahan bantu mengajar. Melalui penggunaan bahan bantu mengajar, seseorang guru itu lebih bersedia dan lebih kreatif untuk menyampaikan pelajarannya dengan baik (Kamal et.al, 1987, m.s. 227).

     Sementara itu, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Adnan Khamis (1986, m.s. 43) pula berpendapat bahawa minat seseorang memainkan peranan yang penting dalam mempelajari matematik. Menurut beliau, matematik merupakan satu mata pelajaran yang kompleks dan berturutan dari mudah kepada sukar. Pelajar perlu memberi tumpuan sepenuhnya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya konsep yang diajar dapat difahami dan digunakan dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan.

     Dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah, pelbagai bahan bantu mengajar digunakan sebagai satu cara untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan (Yusup Hashim, 1997, m.s 16). Mok Soon Sang (1996, m.s 58), pula mengatakan bahawa penggunaan bahan bantu bengajar dalam proses pengajaran adalah amat penting. Ini kerana ia dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, cepat serta menarik. Bahan bantu mengajar yang disediakan mestilah bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Manakala isi kandungan haruslah tepat dan berkait rapat dengan topik yang hendak diajar.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 SAMPEL KAJIAN

     Kajian ini untuk meninjau sama ada penggunaan Bahan Bantu Mengajar tangram dapat menyebabkan murid memahami konsep matematik dengan lebih jelas serta  minat dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik oleh pelajar-pelajar tahun 5 di SJK(T) Ladang Ulu Bernam 2, Teluk Intan . Sampel dalam kajian ini melibatkan 20 orang responden  pelajar tahun 5 di sekolah berkenaan.


3.2 PROSEDUR KAJIAN

     Bagi menjayakan aktiviti pengumpulan data, beberapa langkah tertentu diambil oleh penyelidik. Di antaranya termasuklah meminta kebenaran dari guru besar di sekolah yang mana kajian akan dijalankan iaitu murid dari sekolah yang pengkaji sendiri mengajar. Perkara ini akan memudahkan lagi pengkaji untuk mengumpul data kerana pengkaji akan sentiasa berada bersama mereka sepanjang kajian ini dijalankan. Di antara perkara-perkara yang akan dimaklumkan kepada pihak pentadbiran sekolah ialah menerangkan tentang tujuan kajian ini diadakan, penglibatan responden kajian serta tarikh dan masa pengajaran dan pembelajaran  akan dijalankan.
      Murid lebih mudah memahami sesuatu konsep matematik jika mengunakan bahan bantu mengajar. Dalam kajian ini pengkaji memilih penggunaan bahan bantu mengajar iaitu tangram semasa menjalankan kajian terhadap kumpulan murid tersebut kerana pengkaji percaya bahawa mereka akan lebih mudah memahami sesuatu konsep dan dapat menyimpan pengetahuan itu dalam ingatan mereka bagi tempoh masa yang lama. Dalam hal ini pengkaji akan bertindak sebagi fasilitator atau pemudah cara kepada murid. Hasil dari kajian terdahulu juga membuktikan keberkesanan kaedah yang digunakan dalam membantu pelajar memahami konsep matematik dengan lebih jelas.
      Sebagai permulaan untuk meransang pemikiran murid terhadap pemahaman terhadap konsep perimeter pengkaji telah mengimbas kembali pengetahuan sedia ada murid berkaitan nama dan ciri-ciri bagi bentuk 2 matra. Seterusnya pengkaji telah bersoal jawab tentang konsep perimeter. Kemudian pengkaji telah memberi sedikit penjelasan mengenai apa itu tangram dan sejarah tangram.
     Kemudian pengkaji telah mendemontrasi cara menggunting tangram kepada 7 bahagian. (Lampiran 1)Murid dibekalkan dengan beberapa contoh tangram yang telah siap untuk disuaikan, iaitu pelajar cuba membina sendiri tangram berdasarkan contoh diberi. Pelajar didorong untuk secara bebas mengeksplorasi bahan bantu pembelajaran tangram. Contoh: Berikan  setiap pelajar di kelas satu set tangram dan kemudian bersoal jawap dengan murid: “Apa yang dapat kamu buat dengan potongan-potongan ini?” Berikan dorongan kepada pelajar untuk bercerita tentang  gambar-gambar yang telah mereka buat. Berikan waktu yang banyak pada pelajar untuk secara bebas mengeksplorasi potongan-potongan tersebut supaya pelajar akan menjadi biasa dengan tangram . (Lampiran 2)
     Kemudian  murid-murid telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu dalam satu kumpulan terdiri dari 3 orang murid. Selepas itu pelajar-pelajar akan melekatkan hasil tangram di atas kertas manila . Seterusnya, dengan menggunakan pembaris, pelajar-pelajar akan mengukur sisi luar tengram yang telah dibina dan menulis ukuran tersebut dalam centimeter.(Lampiran 3) Pelajar akan merekod perimeter setiap tangram yang telah dibina dalam bentuk jadual seperti berikut:-

Bil
Tangram
Perimeter(cm)
Catatan
1.
Kucing


2.



3.



4.



5.




Daripada hasil tangram yang telah  dibina, pelajar akan mencari perimeter yang maksimum dan minimum. Dengan menggunakan bahan bantu mengajar (tangram) , pelajar akan lebih memahami konsep tangram.Akhir sekali pelajar-pelajar akan membentangkan hasil kerja mereka (Lampiran 4). Berikut adalah perinciannya:-
Tahun : 5
Topik : Bentuk dan ruang
Masa :  2 jam
Objektif : Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat mengira perimeter
                dengan cara yang betul dan membina pelbagai bentuk 2 matra.

Bahan pengajaran : Kertas A4 pelbagai warna, gunting dan alat tulis.

Nilai-nilai murni : Kerjasama, mengikut arahan, menepati masa

Set induksi : Imbas kembali pengetahuan sedia ada murid berkaitan nama dan ciri-   
                     ciri bagi bentuk 2  matra.
Aktiviti   : Membina bentuk 2 matra dan mencari perimeter.
1.Guru bersoal jawab tentang konsep perimeter.
2.Guru menunjukkan contoh cara memotong tangram.
3.Murid dibekalkan beberapa contoh tangram yang telah siap untuk disuaikan.
4.Murid cuba membina sendiri tangram mereka mengikut kreativiti masing-masing.
5.Daripada hasilan tangram itu murid cuba mencari perimeter yang paling       maksimum dan minimum



DAPATAN

     Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji  mendapati pemahaman konsep matematik lebih mudah di terapkan kepada murid jika  mengggunakan bahan bantu mengajar.  Selain sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan oleh guru, penggunaan bahan bantu mengajar sebenarnya turut memberi peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran (Mok Soon Sang, 1996, m.s.162).

     Sebenarnya dengan menggunakan bahan bantu mengajar murid lebih seronok belajar mencari perimeter serta pengkaji dapati murid dapat memahami konsep perimeter dengan lebih tepat dan lebih berkesan dengan menggunakan bahan bantu mengajar iaitu tangram.
           
Pembelajaran secara konstruktivisme dan “hands on” seperti projek ini dapat memberi pengalaman yang amat berharga kepada murid-murid di dalam mengubah pengetahuan sedia ada kepada pengetahuan dan konsep matematik yang baru. Melalui aktiviti tangram ini, murid dapat memahami konsep perimeter iaitu hasil tambah setiap sisi bagi sesuatu objek dua matra.

Aktiviti tangram ini juga dapat mencungkil kreativiti murid-murid dan membantu meningkatkan kemahiran berfikir mereka dalam menyelesaikan masalah. Sepanjang aktiviti ini dijalankan, berdasar pemerhatian pengkaji, ada dua murid yang mempunyai kepintaran visualisasi dan ruang yang tinggi. Beliau dengan pantas dapat menghasilkan bentuk-bentuk daripada tangram tersebut. Melalui projek ini juga, dapat dilihat bahawa murid lelaki cenderung mempunyai kepintaran ruang berbanding murid-murid perempuan.

Dalam mencari perimeter yang maksimum dan mínimum, murid dapat memahami bagaimana untuk mencarinya setelah melalui proses mencari perimeter setiap objek yang mereka hasilkan daripada tangram tersebut. Melalui perbandingan ukuran perimeter mereka memahami konsep bahawa sekiranya semakin banyak sisi  disusun bercantum, semakin kurang panjang perimeter. Manakala semakin sedikit sisi yang bercantum dan hanya bercantum pada bucu, semakin panjang ukuran perimeter bentuk 2 matra tersebut.  Oleh itu, murid dapat menghasilkan beberapa rupa objek daripada tangram yang mempunyai ukuran perimeter yang maksimum dan mínimum dengan baik(lampiran 5).

Melalui aktiviti tangram  ini, murid-murid melaksanakan dengan lancar dan perasaan yang sangat gembira. Pada mulanya mereka menganggap  tangram adalah pendidikan seni dan tiada kena mengena dengan matematik. Tetapi setelah mereka melalui semua proses, baharulah mereka mempunyai kesedaran bahawa ia melibatkan pemikiran matematik dalam bidang geometri dengan bentuk yang lebih menarik.  
     
IMPLIKASI

     Kajian ini diharap akan dapat mengenalpasti kaedah yang sesuai bagi membantu murid bagaimana untuk memahami konsep perimeter sesuatu objek. Kajian ini diharap akan dapat menentukan samaada pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik yang menggunakan bahan bantu mengajar  untuk memahami konsep perimeter dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna kepada murid di Sekolah Rendah. Selain daripada itu, guru juga akan dapat melihat perbezaan pemikiran matematik murid mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Para guru juga dapat menilai semula sejauh mana keupayaan mereka mengaplikasikan pelbagai pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dalam usaha meningkatkan pemahaman murid dalam memahami sesuatu konsep matematik dengan lebih jelas dan berkesan.






CADANGAN

      Berdasarkan dapatan kajian di atas, beberapa cadangan patut diambilkira oleh beberapa pihak untuk menjayakan amalan penggunaan bahan bantu mengajar di sekolah:

1. Pihak maktab menganjurkan kursus-kursus pendek untuk mengendalikan bengkel
     pembinaan bahan mengajar serta teknik penggunaannya dalam pengajaran dan
     pembelajaran khususnya kepada jenis bahan yang jarang digunakan di sekolah
     seperti rod cuisenaire dan blok Dienes.

2. Pusat sumber di sekolah harus dilengkapi dengan bahan-bahan bantu mengajar
     yang kerap digunakan oleh guru dalam pengajaran konsep matematik tertentu.

3. Guru harus memupuk sikap ingin cuba khususnya penggunaan kaedah serta
     bahan-bahan bantu mengajar yang pelbagai dan dapat mengambil kira pelbagai
     kecerdasan pelajar dan gaya pembelajaran yang berbeza.

4.Guru mempertingkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan
    murid berasaskan kaedah kolaboratif, kooperatif dan fahaman konstruktivisme.

5.Pihak pentadbir sekolah harus memberi sokongan sepenuhnya dalam
   pelaksanaan pelbagai kaedah yang memusatkan murid serta bantu mengatasi
   masalah pengurusan bilik darjah.

KESIMPULAN
Pada keseluruhannya,  penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah sangat diperlukan. Selain itu juga teknik pengajaran perlu dipelbagaikan agar murid tidak bosan. Dari bidang afektif, alat bantu mengajar dan bahan manipulatif dapat meningkatkan konsep,minat dan perasaan ini tahu di kalangan pelajar. Pelajar juga dijangka dapat mempertingkatkan kefahaman konsep serta penglibatan pelajar yang lebih aktif dalam aktiviti pembelajaran. Pandangan ini memang selaras dengan maktlamat KBSR yang menitikberatkan pengajaran yang memusatkan murid dengan manipulasi bahan-bahan maujud. Walaupun guru-guru mempunyai persepsi yang amat positif terhadap penggunaan bahan bantu mengajar, amalan penggunaan bahan itu di bilik darjah tidak begitu menggalakkan atas kekangan seperti kekurangan masa, bahan-bahan tidak mencukupi, tidak praktikal, beban mengajar yang tinggi, sumber kewangan yang tidak mencukupi serta tidak mahir membina bahan secara sendiri.

No comments:

Post a Comment